Bismillahirahmanirrahim
Jika anda diberi peluang sekali lagi untuk mempelajari sejarah PMR atau SPM, mahukah anda?
Saya tidak tahu tentang anda, tapi saya takkan mahu ulang kembali saat perit jerih menghafal buku teks PMR atau SPM ketika berada di sekolah menengah. Subjek itu diambil hanya kerana terpaksa dan tiada langsung perasaan seronok ketika mempelajari tentangnya. Mengantuk waktu kelas sejarah pun adalah perkara yang biasa bagi kebanyakan pelajar termasuk saya.
Tetapi, benarkah mempelajari sejarah sebosan itu?
Jika apa yang dipelajari itu tentang diri kita, mesti tidak akan bosan.
Jika apa yg dibaca itu adalah cara-cara untuk meningkatkan diri kita ke taraf yang tinggi, pasti tidak akan rasa jemu.
Jika apa yang ditelaah itu mengajar kita bagaimana untuk menakluk dunia, pasti semua akan berkejar-kejar untuk mempelajarinya.
Sebenarnya, sejak beberapa abad yang lalu, mereka yang menyedari tentang perkara ini adalah orang-orang barat. Mereka mendalami sejarah kerana sedar akan keuntungan yang bakal mereka terima. Dan hasil yang mereka tuai, sangat jelas di mata kita sekarang. Mereka menguasai dunia dari segala sudut, ekonomi, politik dan juga sosial.
Jadi, nak kuasai dunia la baru belajar sejarah?
Oh, tidak sekali-kali. Hatta, budak-budak kecil yang tidak pernah terfikir untuk menguasai dunia pun, perlu diajarkan tentang sejarah. Terutamanya Sirah Rasulullah SAW. Hal ini kerana ada satu lagi kelebihan bagi mereka yang mempelajari sejarah.
Di dalam Al-Quran diungkapkan banyak sejarah-sejarah nabi yang terdahulu serta kaum-kaum yang pernah dihancurkan oleh Allah disebabkan kemungkaran yang mereka lakukan. Dan Allah juga terangkan untuk apa diceritakan semua itu.
"Dan semua kisah rasul-rasul, Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), agar dengan kisah itu Kami teguhkan hatimu; dan didalamnya telah diberikan kepadamu (segala) kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang yang beriman." (Hud:120)
Jika mereka yang benar-benar beriman, pasti akan terkesan dengan ayat ini. Sejarah bukan setakat cerita yang tertulis dalam lipatan masa lampau, tetapi ia adalah kebenaran, nasihat dan peringatan bagi kita.
Dengan kata lain, sejarah mampu menceritakan kepada kita bagaimana untuk menjadi umat Islam yang unggul dari segala segi. Sejarah juga mengajar kita bagaimana hendak mengecap kejayaan di dunia juga akhirat. Hanya sejarah yang dipelajari berlandaskan keimanan akan membuahkan kejayaan sedemikian rupa. Itulah perbezaan antara kita dengan orang-orang barat. Itulah kelebihan bagi orang-orang beriman yang mendalami sejarah.
Ketika kita hampir putus asa menasihati seseorang, lihatlah sejarah. Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun tanpa rasa jemu. Rasanya, masa kita mengajak orang berbuat kebaikan tidak akan setanding dengan jangka masa tersebut. Jadi, kita akan kembali bersemangat tanpa kita sedari.
Apabila terasa letih berkorban untuk Islam, lihatlah sejarah. Bagaimana Bilal bin Rabah bersedia mengorbankan nyawanya untuk menjaga akidahnya, untuk Islam? Adakah kita sekarang sampai perlu mengorbankan nyawa? Saya rasa keadaan kita belum sampai ke situ. Jadi mengapa harus kita letih?
Tatkala orang menghina kita kerana cuba mengamalkan Islam sepenuhnya, sedihkah kita? Jika ya, maka lihatlah sejarah. Rasulullah SAW mengalami hinaan dan cercaan yang lebih teruk ketika dia hendak menyebarkan Islam. Anda pasti akan terhibur membaca tentang ketabahannya dan sedikit demi sedikit akan hilang rasa kesedihan itu.
Banyak lagi nasihat dan pengajaran yang boleh diambil dari sejarah. Jadi, rugikah mempelajari sejarah?
Untuk umat Islam zaman sekarang, sejarah satu-satunya cara untuk berkenalan dan mencontohi generasi dulu yang pernah membina tamadun Islam. Juga cara yang paling baik untuk mengenali Rasulullah SAW.
Pernahkah anda menghayati sejarah sebenar-benarnya?
Saya pernah bertemu dengan seseorang yang menangis teresak-esak ketika membaca buku cerita tentang Rasulullah SAW. Apabila ditanyakan mengapa dia menangis, jawapannya hanyalah,
"Aku rindukan Rasulullah. Aku dapat rasakan betapa sedihnya waktu dia wafat."
Dia kelihatan bersungguh-sungguh ketika menyatakan alasan itu. Saya terfikir, berapa ramai yang mampu menghayati sirah Rasulullah SAW sedemikian rupa?
Jika Allah mengajarkan sejarah kepada Rasulullah SAW, tidakkah kita tergerak hati untuk mempelajarinya?
Pandangan saya terhadap sejarah sudah berubah. Bagaimana dengan anda?
Mari kita mula mendalami sejarah, melalui Al-Quran dan juga buku-buku sejarah.
Dengan izin Allah, pasti kebaikannya akan kita rasai.
No comments:
Post a Comment